ผู้เขียน หัวข้อ: Ulama' Nusantara (ปวงปราชญ์แห่งเอเชียอาคเนย์)  (อ่าน 2758 ครั้ง)

0 สมาชิก และ 1 บุคคลทั่วไป กำลังดูหัวข้อนี้

ออฟไลน์ Al Fatoni

  • ซังกุงคนสนิท ( +_-)
  • เพื่อนรัก (6_6)
  • *****
  • กระทู้: 4905
  • เพศ: ชาย
  • จงอยู่กับความจริงแล้วจะไม่หลง
  • Respect: +76
    • ดูรายละเอียด

Sunday, November 12, 2006

SAIYID  ABDULLAH  AZ-AZWAWI
Mufti Syafi'iyah Mekah


Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

RUANGAN Agama Utusan Malaysia minggu lalu telah memperkenalkan seorang ulama Arab yang berasal dari Libya yang sangat besar jasanya terutama di Pulau Pinang. Ulama yang dibicarakan kali ini juga seorang bangsa Arab yang cukup terkenal di dunia Melayu, bahkan secara berantai mulai datuk, ayah, beliau sendiri hingga keturunannya berperanan penting dalam penyebaran ilmu-ilmu Islam di dunia Melayu. Untuk menulis riwayat ini saya gunakan beberapa sumber.

                Sumber daripada bahasa Arab ialah tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar yang dimuat dalam Kitab as-Siyar wa at-Tarajim. Sumber bahasa Melayu ialah sebuah risalah judul Kaifiyah 'Ala Thariqah An-Naqsyabandiyah Al-Mujaddidiyah Al-Ahmadiyah Li Al-'Allamah Al-Quthub Ash-Shufiyah As-Saiyid Muhammad Shalih Ibnu As-Saiyid Asy-Syarif 'Abdur Rahman Az-Zawawi (cetakan Mathba'ah al-Ahmadiyah al-Kainah fi Bandar Riau al-Mahrusah al-Mahmiyah, 11 Muharam 1313 H). Selain itu, sumber yang paling penting ialah catatan-catatan (manuskrip) yang saya peroleh dari istana kerajaan Pontianak.

                 Sumber yang tidak kurang penting ialah wawancara beberapa orang di antaranya keturunan beliau Saiyid Muhammad Yusuf bin Saiyid 'Ali az-Zawawi (pernah menjadi Mufti Terengganu).

                 Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih bin Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Lahir 1266 H/1850 M. Saya masih meragui tahun wafat 1343 H/1924 M yang disebut oleh Syeikh 'Umar Abdul Jabbar, kerana beberapa tahun sesudah tahun itu Saiyid Abdullah az-Zawawi masih berada di Pontianak. Jika diperhatikan tahun lahir tersebut, ia bersamaan dengan tahun lahir Saiyid Abu Bakri Syatha (lahir 1266 H/1849 M). Dengan maklumat ini mudahlah kita menjejaki guru-guru ulama yang diriwayatkan ini.

  •    Apabila kita membicarakan ulama Arab keturunan ‘Saiyid’ yang tersebut pada judul, dapat kita jejaki mulai dari datuknya lagi yang pernah datang ke dunia Melayu. Datuk beliau bernama Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Dalam sebuah catatan yang diperoleh dari istana kerajaan Pontianak disebutkan bahawa pada tahun 1295 H/1878 M, Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi datang di Pontianak mengajar beberapa ilmu dan membaiah Tarekat Naqsyabandiyah.

       Anak Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi yang bernama Saiyid Muhammad Shalih (lahir 1246 H/1830 M, wafat 1308 H/1890 M) pula pernah datang ke Pulau Penyengat, Riau. Beliau juga mengajar pelbagai ilmu dan sempat membaiah Tarekat Naqsyabandiyah al-Mujaddidiyah al-Ahmadiyah kepada Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi (wafat 1317 H/1899 M), iaitu Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga yang ke-X (Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga yang terakhir).

       Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah, Mekah. Sebagaimana diketahui dalam sejarah bahawa yang mendirikan madrasah tersebut ialah Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-'Utsmani (salah seorang keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan). Oleh sebab sudah jelas bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar di madrasah tersebut, maka sudah pasti beliau adalah termasuk golongan murid yang pertama belajar kepada ulama keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan r.a itu. Sanad pelbagai ilmu Islam dapat diketahui melalui Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-'Utsmani yang banyak dibicarakan dalam pelbagai kitab.

Sumber Arab
  •    Pendidikan Saiyid Abdullah az-Zawawi melalui jalan yang lain pula, terutama dalam ilmu tasawuf dan tarekat, dapat diketahui daripada sumber Arab dan Melayu. Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar kepada ayahnya, iaitu Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi belajar kepada ayahnya, iaitu Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi selain belajar kepada ayahnya juga belajar dengan Saiyid Muhammad Mazhhar al-Ahmadi. Beliau ini belajar dengan Syeikh Ahmad Sa'id al-Ahmadi yang belajar dengan Syeikh Abi Sa'id al-Ahmadi. Syeikh Abi Sa'idbelajar dengan Syeikh Abdullah ad-Dahlawi. Syeikh Abdullah ad-Dahlawi ini adalah ulama yang sangat terkenal terutama dalam bidang ilmu hadis. Selain nama-nama yang tersebut di atas, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga belajar dengan beberapa orang ulama di Mekah termasuk juga dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

       Telah diketahui umum bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Hampir-hampir tidak ada orang menceritakan bahawa beliau menduduki beberapa jabatan penting di Makkah ketika beliau belum berpindah ke dunia Melayu. Tetapi Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis bahawa pada zaman pemerintahan Syarif Husein di Mekah, Saiyid Abdullah az-Zawawi memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Syura, Ketua Majlis Syuyukh dan Ketua 'Ain Zubaidah. Di samping menyandang kedudukan yang tinggi di Mekah, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga giat mengajar. Ramai ulama yang berasal dari dunia Melayu belajar dengan beliau di Makkah yang kemudian menjadi ulama besar yang berperanan penting dalam penyebaran Islam di negeri mereka masing-masing atau tempat-tempat lainnya.

       Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi, salah seorang cicitnya, ketika saya temui di Masjid Negara meriwayatkan bahawa sewaktu Prof. Dr. Snouck Hurgeronje datang ke Mekah dia kagum dengan kehebatan ilmu dua orang ulama. Yang seorang bangsa Arab, iaitu tok Ana (maksudnya diri beliau atau Saiyid Yusuf az-Zawawi, pen:) yang bernama Saiyid Abdullah az-Zawawi. Snouck belum puas kerana yang dimaksudkannya bukan ulama Arab tetapi ulama yang berasal dari dunia Melayu. Dia mencari ulama itu untuk kepentingan bangsanya, bangsa Belanda. Akhirnya, Snouck datang kepada Tok Enta (maksudnya diri saya atau Mohd. Shaghir Abdullah, pen:) iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

                         Syeikh Ahmad al-Fathani marah kepada Snouck kerana beliau yakin bahawa Snouck masuk Islam hanyalah sebagai tipu muslihat. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh Snouck mengucap syahadat. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi menutup perbualan bahawa dalam buku Snouck Hurgeronje judul Mecca, cetakan awal dalam bahasa Belanda, terdapat dua keping gambar. Pada bahagian depan ialah gambar Saiyid Abdullah az-Zawawi dan pada halaman berikutnya gambar Syeikh Ahmad al-Fathani. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi juga meriwayatkan bahawa kewafatan Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah kerana ditembak sewaktu beliau hendak keluar dari rumahnya di Taif.

    Hijrah ke dunia Melayu

       Menurut tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar, Saiyid Abdullah az-Zawawi pernah mengembara ke India, Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, China dan Jepun tanpa memberikan keterangan yang lengkap tujuan pengembaraan itu. Daripada beberapa informasi yang diperoleh melalui wawancara, kedatangan Saiyid Abdullah az-Zawawi di dunia Melayu adalah sebab beliau membantah fahaman yang beraliran Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab yang sangat terkenal sebagai pencetus fahaman Wahabiyah.

       Menurut riwayat, ada beberapa orang ulama terpaksa berhijrah dari Mekah ke dunia Melayu kerana mereka menolak fahaman Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang berpengaruh dalam pemerintahan di Hijaz termasuk Mekah. Antara ulama Mekah yang berhijrah itu termasuk ulama besar Mufti Syafi'iyah Makkah iaitu Saiyid Abdullah az-Zawawi. Saiyid Abdullah az-Zawawi pernah datang ke Johor dan Riau - Lingga, namun atas permintaan Sultan Pontianak beliau meneruskan perjalanannya di Pontianak. Di Pontianak, beliau dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak.

       Ketika Saiyid Abdullah az-Zawawi berada di Pontianak, orang yang membantu beliau dalam banyak hal terutama dalam berkomunikasi dengan orang-orang Melayu ialah Haji Isma’il bin Abdul Majid al-Kalantani, salah seorang murid beliau sejak ketika masih berada di Mekah lagi. Belum dijumpai riwayat yang jelas apakah ulama Kelantan itu datang ke Pontianak ikut bersama-sama gurunya itu berhijrah dari Makkah sebab tekanan pemerintah yang berfahaman Wahabi atau sebab-sebab lain. Yang jelas Haji Isma’il bin Abdul Majid al-Kalantani pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak kemudian daripada gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi.

       Syeikh 'Umar Abdul Jabbar tidak menyebut sesuatu judul penulisan Saiyid Abdullah az-Zawawi. Tetapi ada sebuah karya Saiyid Abdullah az-Zawawi saya peroleh daripada simpanan istana Sultan Pontianak melalui Syeikh 'Isa asy-Syarwani, salah seorang keturunan ulama besar sahabat Saiyid 'Abdullah az-Zawawi. Beliau ialah Syeikh 'Abdul Hamid asy-Syarwani, penulis Hasyiyah Tuhfah Syeikh Ibnu Hajar. Risalah yang ditulis dalam bahasa Arab diberi terjemahan makna bahasa Melayu oleh murid beliau, Haji Isma’il bin Abdul Majid al-Kalantani. Pada halaman depan tertulis: “Ini fatwa daripada as-Saiyid Abdullah ibnu al-Marhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi jawab soal dari tanah Jawa ghafarallahu lahu Amin, bertarikh 25 Syawal 1330 H.” Diberi keterangan di bahagian bawahnya, “Dicapkan dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak, Amin Dicapkan pada Mathba' al-Haji Sa'id bin al-Marhum al-Haji Arsyad, tukang cap dan penjual serba serbi jenis kitab-kitab Arab - Melayu, nombor 82 Jalan Arab Street, Singapura pada 25 Syawal 1330 H oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said Basrah Street, nombor 44, Singapura.”

                 Kalimat terakhir dicatatkan, “Diharap kepada ahli al-ilmi yang memandang segala makna yang tergantung ini sekiranya jika ada salah dan terang salahnya mintalah dibetulkan supaya jangan jadi panjang kesalahannya.” Selanjutnya disebut Ismuhu al-faqir ilallah nail al-amani Isma’il bin Abdul Majid al-Kalantani.

                 * Kandungan Risalah Fatwa Saiyid Abdullah az-Zawawi membicarakan suara dalam piring hitam. Yang diutamakan adalah mengenai hukum ayat-ayat atau surah-surah al-Quran yang dimuat dalam piring hitam. Atau dalam perkembangan sekarang seperti kaset, cakera padat dan lain-lain. Sebagai contoh terjemahan bahasa Melayu yang digunakan adalah seperti berikut, “telah zahir satu alat yang bercakap dengan huruf dengan berlagu dan pantun-pantun yang bersalah-salahan, berlagu-lagu dan menjerit. Dan ada zahir pada setengah-setengah lauhnya yang dinamakan piring itu rekod namanya bacaan Quran dan bang. Dan jadilah ia berpanjangan pada tiap-tiap pasar, dan pada tiap-tiap perkumpulan, dan pada tiap-tiap kedai kopi. Dan dijualkan dia pada tiap-tiap toko (kedai) dan kebanyakan yang menjual itu bangsa Nasrani dan Majusi (China), dan lain daripada mereka itu...”

Posted by mfrstudio at 4:39 PM
« แก้ไขครั้งสุดท้าย: ก.ย. 23, 2009, 09:16 PM โดย Al Fatoni »
ท่านขนขวายอะไร ท่านก็จะได้สิ่งนั้น - วัลลอฮุอะอฺลัม

ออฟไลน์ Al Fatoni

  • ซังกุงคนสนิท ( +_-)
  • เพื่อนรัก (6_6)
  • *****
  • กระทู้: 4905
  • เพศ: ชาย
  • จงอยู่กับความจริงแล้วจะไม่หลง
  • Respect: +76
    • ดูรายละเอียด
Re: Ulama' Nusantara (ปวงปราชญ์แห่งเอเชียอาคเนย์)
« ตอบกลับ #1 เมื่อ: ก.ย. 23, 2009, 08:30 PM »
0
SAIYID  ABDULLAH  AL-GHADAMSI
Sebarkan Ilmu Dari Libya Ke Malaysia


Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

RUANGAN Agama Utusan Malaysia telah menyiarkan 110 rencana mengenai ulama. Semua ulama yang diriwayatkan berasal dari dunia Melayu. Ulama ke-111 yang dibicarakan sekarang merupakan ulama yang berasal dari dunia luar. Beliau berasal dari Libya, tetapi telah menabur jasa dan keharuman peribadi di Malaysia khususnya dan dunia Melayu umumnya.

                  Pada 10 April 2006, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan World Islamic Call Society (WICS), Libya mengadakan Nadwah Ilmiyyah 2006 bertemakan Syeikh Abdullah Al-Ghadamsi (Al-Maghribi): Peranannya Dalam Pendidikan Islam Di Tanah Melayu. Ia diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya.

                  Saya membentangkan salah satu daripada 10 kertas kerja seminar itu. Kertas kerjanya berjudul Saiyid Syeikh Abdullah Al-Maghribi: Penulisan dan Penyebaran Ilmu. Kertas kerja tersebut saya ringkaskan dalam rencana ini dan ditambah beberapa maklumat yang dianggap penting setelah mengikuti semua pembentangan pada seminar itu. Sebelum saya memasuki pokok perbicaraan perlu juga saya membuat sedikit penilaian bahawa masih banyak terdapat perselisihan pendapat dalam penulisan terutama tentang tahun-tahun aktiviti Syeikh Abdullah Al-Ghadamsi.

                  Sesuatu yang bersifat andaian lebih menguasai daripada yang bercorak data dan fakta yang konkrit. Tiga tokoh yang dikemukakan sebagai tokoh islah ialah Syed Sheikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Al-Maghribi. Ketiga-tiga mereka sering dibicarakan. Pada pandangan saya kajian secara menyeluruh, adil, ilmiah, berfakta dan tidak berpihak perlu dibuat dalam penilaian, terutama dalam menilai dua golongan ketika itu iaitu Kaum Tua dan Kaum Muda (islah atau tajdid).


PENGENALAN RINGKAS
Nama lengkap ulama yang diperkatakan ini ialah Saiyid Syeikh al-Qadhi Abu Jabir Abdullah bin Ahmad bin Ibrahim bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Muhammad al-Qairuani al-Balawi al-Ghadamsi al-Maghribi. Nama ringkas ialah Saiyid Abdullah al-Maghribi saja. Beliau dilahirkan di Ghadamas, tahun 1310 H/1892 M (mengikut Dr. Adel Muhammad Abdul Aziz dalam satu kertas kerja bertarikh 10 April 2006, hlm. 3). Ada riwayat lain menyebut beliau lahir di Tripoli. Wafat di Mekah pada waktu Maghrib, 7 Ramadan 1395 H atau 12 September 1975. Sejak kecil telah berpindah ke Mekah. Antara gurunya selama di Mekah ialah Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar (lahir di Thaif, 1272 H/1856 M, wafat 1347 H/1928 M).

                  Menurut Syeikh Umar Abdul Jabbar, guru bagi Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar ialah Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-Utsmani (lahir 1226 H/1811 M, riwayat lain lahir Jumadil Awwal 1233 H/9 Mac 1818 M, wafat malam Jumaat, 22 Ramadan 1308 H/2 Mei 1891 M). Syeikh Rahmatullah ialah pengasas Madrasah ash-Shaulatiyah di Mekah. Pada penelitian saya berdasarkan sanad nampaknya tertinggal satu nama yang tidak disebut oleh Syeikh Umar Abdul Jabbar. Syeikh Ahmad bin 'Ali an-Najjar bersama-sama Syeikh Ahmad al-Fathani berguru kepada Syeikh Abdul Qadir asy-Syibli ath-Tharablusi. Sesudah ulama Libya ini barulah naik kepada Syeikh Rahmatullah al-Hindi itu. Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar juga belajar kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

                  Memperhatikan tahun lahir Syeikh Ahmad bin Ali an-Najjar (1272 H/1856 M) bererti ia sama dengan tahun lahir Syeikh Ahmad al-Fathani (1272 H/1856 M), kedua-duanya sama-sama belajar kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (lahir 1232 H/1816 M, wafat 1304 H/1886 M). Kemungkinan Saiyid Abdullah al-Maghribi juga pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani atau ulama-ulama dunia Melayu di Mekah lainnya.

                  Untuk lebih memperkuatkan hujah, sekiranya beliau tidak belajar kepada ulama dunia Melayu kepada siapakah beliau belajar bertutur bahkan dapat menulis dengan menggunakan bahasa Melayu? Hal ini memerlukan penelitian kepada pelbagai sumber. Oleh sebab Saiyid Abdullah al-Maghribi pernah belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah, Makkah, kemungkinan beliau juga pernah belajar kepada Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang pernah mengajar di madrasah itu sebelum beliau menjadi Syeikh al-Islam di Selangor.

                  Banyak pertikaian pendapat tentang riwayat kedatangan dan tahun Saiyid Abdullah al-Maghribi berhijrah ke Pulau Pinang. Ada riwayat menyebut bahawa beliau sampai di Pulau Pinang pada 1918 M. Riwayat yang lain pula menyebut setahun kemudian, iaitu tahun 1919 M. Ada juga riwayat yang menyebut bahawa pada tahun 1919 M itu juga beliau dilantik menjadi mudir di Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah (Abdul Rahman Al-Ahmadi, dalam Tamadun Islam di Malaysia, DBP, 2000, hlm. 489) di Tek Soon Street, Pulau Pinang menggantikan tempat Saiyid Syeikh al-Hadi.

                  Riwayat yang lain pula menyebut bahawa beliau menjadi mudir di madrasah tersebut pada 1921 M (Abdul Rahman Al-Ahmadi, hlm. 489) hingga 1927 M (Abdul Rahman Al-Ahmadi, dalam Tamadun Islam di Malaysia, DBP, 2000, hlm. 492). Tetapi dalam majalah ar-Raja' terbitan 23 Syawal 1343 H/19 Mei 1925 pada halaman 7 dan 15 terdapat maklumat bahawa pada tahun terbitan ar-Raja' itu mudir madrasah tersebut ialah Syeikh Abbas Rafi'.

                  Pada 1927 M saat-saat sewaktu akan pindah ke Perak, Saiyid Abdullah al-Maghribi mengasaskan organisasi Jam'iyah Al-Khalifah Syarif Husein yang bertujuan menyokong kekhalifahan Syarif Husein Raja Mekah yang mulai tergugat setelah kejatuhan Turki Uthmaniah. Tidak sampai setahun Saiyid Syeikh Abdullah al-Maghribi mengajar di Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Perak, pada 1928 M beliau terpaksa berpindah kerana fahaman agama Islam yang dibawanya dianggap termasuk golongan Kaum Muda sedangkan di madrasah tersebut masih ramai yang faham sangat tentang selok-belok Kaum Tua.

                  Informasi yang lain menyebut bahawa Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Perak itu diasaskan oleh Saiyid Abdullah al-Maghribi dan beliau menjadi mudir madrasah itu (1928-1932 M). Pada tahun 1934 M didirikan pula Madrasah ad-Diniyah di Kampung Lalang di Perak. Selanjutnya pada 1935 M Saiyid Abdullah al-Maghribi mengasaskan madrasah sendiri yang dinamakan Madrasah Al-Huda di Pulau Pinang.


PENULISAN
Bagi saya, pengesanan awal ketokohan seseorang sama ada ia berasal dari dunia Melayu sendiri ataupun dari luar adalah melalui penulisannya. Demikianlah juga dengan ulama yang sedang dibicarakan ini.

                  Pertama kali saya mengetahui nama beliau adalah melalui sebuah karya yang berjudul Kitab Munir al-Afham Pada Menyatakan Syarah Bulugh Al-Maram (jilid 1). Tidak terdapat tahun penulisan. Dicetak oleh Al-Huda Press, 27, Cholia Street, Penang. Dicatatkan, ‘Telah didaftar di bawah nombor 873-1211-1936’. Dalam kitab tersebut ada dicatatkan maklumat ringkas tentang pengarangnya sebagai berikut: ‘Al-Allamah al-Fadhil wa al-Muhaqqiq al-Kamil Tuan Syeikh Abdullah al-Maghribi, seorang daripada ulama Mekah al-Mukarramah dan tuan empunya Madrasah al-Huda ad-Diniyah bagi laki-laki dan perempuan’.

                  Pada halaman akhir diiklankan dua buah karya ulama tersebut iaitu Kitab Pada Menyatakan Tafsir al-Quran dan Kitab Pada Menyatakan Perjalanan Nabi s.a.w.. Tanpa melengah-lengahkan masa tentang data kitab tersebut, saya catat nota dalam buku yang sedang saya susun iaitu Katalog Besar Persuratan Melayu. Kandungan garis besarnya berdasarkan katalog yang saya tulis itu yang membicarakan segala dalil-dalil hukum syariat agama Islam bagi mazhab yang empat daripada hadis-hadis Nabi s.a.w.

                  Daripada maklumat di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Saiyid Abdullah al-Maghribi adalah berbangsa Arab tetapi berkemampuan menulis dalam bahasa Melayu yang berkembang pada zaman itu. Yang dibicarakan dalam penulisan tersebut adalah mengenai hadis, iaitu syarah kitab Bulugh Al-Maram karya Syeikh Ibnu Hajar al-Asqallani. Selain menulis tentang hadis, ulama Arab kelahiran Libya tersebut juga menulis tafsir al-Quran dan sirah Nabi Muhammad s.a.w. juga dalam bahasa Melayu. Menerusi maklumat yang lain nampaknya beliau tekun dan rajin mengikuti perkembangan penulisan dalam bahasa Melayu kerana aktif dalam PASPAM (Persaudaraan Sahabat Pena Melayu). Dalam beberapa terbitan PASPAM terdapat tulisan beliau.

                  Beberapa tulisan dan pendapat yang menyebut bahawa Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah didirikan atau ditubuhkan oleh Saiyid Sheikh al-Hadi pada 1919 M perlu diselidiki kembali. Saya lebih menyetujui pendapat yang menyebut bahawa Saiyid Sheikh al-Hadi mereformasikan madrasah yang tersebut.

                  Berdasarkan informasi yang telah ditulis orang, institusi tersebut telah wujud sejak 1914 M dan dinamakan demikian kerana mengambil sempena nama Saiyid Ahmad al-Masyhur, iaitu salah seorang ahli jawatankuasa madrasah tersebut yang besar pengaruhnya di Pulau Pinang. Daripada bahan yang belum saya jumpai dalam penulisan, tetapi cerita yang bersambung daripada salah seorang keturunan murid dan anak angkat pendiri madrasah tersebut, dia menyebut bahawa Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah Pulau Pinang adalah didirikan oleh orang-orang Arab.

                  Yang terpenting di antara pendirinya ialah ulama bernama Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri al-Faqih al-Makki. Barangkali beliau inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Dr. Mohd. Sarim Mustajab dalam kertas kerjanya (10 April 2006, hlm. 2) bahawa di antara 20 orang yang hadir dalam mesyuarat pada 13 Rejab 1332 H/7 Jun 1914 M, terdapat nama Syed Manshuri. Setelah merintis jalan dan mengajar di madrasah di Pulau Pinang, Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri selanjutnya mendirikan sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah Dar-al-Falah di Sungai Bakau Besar, Mempawah, Kalimantan Barat.


Madrasah
Seterusnya, Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri al-Faqih al-Makki mendirikan pula madrasah di Batu Raja, Palembang, Sumatera Selatan. Diriwayatkan pula bahawa bentuk bangunan Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah di Pulau Pinang, Madrasah Dar al-Falah di Sungai Bakau Besar, Mempawah, Kalimantan Barat dan Madrasah Batu Raja di Palembang, Sumatera Selatan adalah serupa.

                  Sebelum tahun 1930-an Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri membawa beberapa anak angkat dan murid beliau dari Kalimantan Barat ke Madrasah Batu Raja, Palembang dan seterusnya ke Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang. Baik yang berasal dari Mempawah mahupun yang berasal dari Palembang ramai yang mengikut Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri kerana semua mereka akan diberi latihan khusus di Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang.

                  Menurut riwayat, ketika itu Saiyid Abdullah al-Maghribi masih mengajar di madrasah tersebut. Antara yang ikut dalam rombongan Syeikh Muhammad Yusuf al-Manshuri ketika itu ialah Haji Sulaiman bin Sa'ad. Haji Sulaiman bin Sa'ad setelah pulang dari Pulau Pinang mendirikan sebuah madrasah di Sungai Sahang dan Sungai Cina (nama sekarang Nusapati). Madrasah tersebut dinamakan Madrasah Taufiqiyah yang masih aktif sampai sekarang. Sumber ini diperoleh dari Mempawah yang saya yakin kerana ada beberapa bukti. Saya sendiri sempat mengajar di Madrasah Taufiqiyah pada 1972 hingga 1974.

Posted by mfrstudio at 4:37 PM
« แก้ไขครั้งสุดท้าย: ก.ย. 23, 2009, 09:16 PM โดย Al Fatoni »
ท่านขนขวายอะไร ท่านก็จะได้สิ่งนั้น - วัลลอฮุอะอฺลัม

ออฟไลน์ Al Fatoni

  • ซังกุงคนสนิท ( +_-)
  • เพื่อนรัก (6_6)
  • *****
  • กระทู้: 4905
  • เพศ: ชาย
  • จงอยู่กับความจริงแล้วจะไม่หลง
  • Respect: +76
    • ดูรายละเอียด
Re: Ulama' Nusantara (ปวงปราชญ์แห่งเอเชียอาคเนย์)
« ตอบกลับ #2 เมื่อ: ก.ย. 23, 2009, 08:39 PM »
0
SYEIKH  UTHMAN  SYIHABUDDIN
Ulama Pontianak


Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


DALAM buku saya tentang Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari telah saya tulis bahawa salah seorang anak ulama besar itu ada yang bernama Syihabuddin al-Banjari. Walau bagaimanapun hingga kini masih belum dapat keterangan yang jelas bahawa Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Banjari, dan kebanyakan menggunakan istilah ‘al-Funtiani’ pada hujung nama, apakah beliau cucu kepada ulama besar Banjar itu ataupun bukan.

                  Yang jelas beliau berasal dari Banjar dari pihak sebelah ayahnya, dan ada riwayat dari sebelah ibunya pula berasal dari Karangan (Mempawah, bahagian hulu).

                  Apa yang dimaksudkan dengan ‘al-Funtiani’ pula ialah Pontianak, kerana ayahnya tinggal di Pontianak, Kalimantan Barat. Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Banjari pula dilahirkan di Pontianak bukan tempat lainnya. Istilah ‘al-Funtiani’ pada konteks ulama yang diriwayatkan ini hendaklah dinisbahkan atau dibangsakan kepada ‘Pontianak’, kerana di kemudian hari jangan jadi keliru jika dinisbahkan atau dibangsakan kepada Pontian yang berada di Johor. Bagi saya adalah satu kekeliruan yang besar, yang ditulis oleh Martin van Bruinessen (sarjana yang berasal dari Belanda) dalam bukunya Tarekat Naqsyabandiyah Di Indonesia yang menyebut bahawa Syeikh Utsman dipanggil juga dengan ‘al-Sarawaki’ (lihat Tarekat Naqsyabandiyah, Penerbit Mizan, Bandung, Safar 1413/Ogos 1992, hlm. 120).

                  Berlaku kekeliruan di sini kerana Syeikh Utsman bin Syihabuddin hanya menggunakan dua istilah saja dihujung nama ‘al-Funtiani’ ataupun ‘al-Banjari’. Yang memakai nama hujung dengan ‘As-Sarawaqi’ ialah Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab as-Sarawaqi yang berasal dari Sarawak.

                  Kedua-duanya betul bernama Utsman, tetapi seorang berasal dari Pontianak dan yang seorang lagi berasal dari Sarawak. Kedua-dua nama orang tuanya juga berbeza, yang berasal dari Pontianak ayahnya bernama Syihabuddin, sedang yang berasal dari Sarawak ayahnya bernama Abdul Wahhab. Kedua-dua ulama yang bernama Syeikh Utsman yang berasal dari Borneo/Kalimantan itu hidup sezaman dan sama-sama terkenal.


Pendidikan
Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani mendapat pendidikan awal dari lingkungan keluarga sendiri dan selanjutnya belajar kepada beberapa orang ulama di Pontianak. Di Pontianak pada zaman beliau masih kanak-kanak memang ramai ulama bangsa Arab terutama keturunan Saiyid.

                  Bahasa Arab komunikasi sangat mudah diperoleh pada zaman itu kerana beberapa kampung di sekitar Istana Sultan Pontianak, terutama Kampung Arab dalam pergaulan lebih banyak menggunakan bahasa Arab jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa selainnya. Jadi Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani seorang yang fasih menggunakan bahasa Arab. Pendidikannya yang terakhir di Mekah, di antara gurunya ialah Saiyid Muhammad Shalih bin Abdur Rahman az-Zawawi (lahir 1246 H/ 1830 M, wafat 1308 H/1890 M), Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani, Saiyid 'Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (lahir 1230 H/1814 M, wafat 1315 H/1898 M) dan ramai lagi.

                  Syeikh Abdul Hamid ad-Daghistani asy-Syarwani adalah ulama besar dalam Mazhab Syafie di Mekah, beliau yang tersebutlah yang menulis Hasyiyah Syarh at-Tuhfah Syeikh Ibni Hajar. Salah seorang anak beliau ialah Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid ad-Daghistani asy-Syarwani wafat di Pontianak pada 20 Jamadilakhir 1314 H, dimakamkan di Perkuburan Al-Marhum Pangeran Bendahara Syarif Ahmad Al-Qadri Pontianak. Ada pun Saiyid Abdullah az-Zawawi juga seorang ulama besar, Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Beliau berhijrah ke dunia Melayu, mula-mula ke Riau dan akhirnya menjadi Mufti di kerajaan Pontianak.

                  Tidak kurang hebat dan penting ulama kita dunia Melayu yang disebut oleh Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani yang beliau nyatakan pada halaman depan karyanya Tajul 'Arus, katanya, “Ini kitab karangan Syeikh Tajuddin bin Athaullah Askandari hamba gantikan lafaz Arabnya dengan lafaz Melayu. Sa-nya hamba tashhih (disahkan) kepada guru hamba Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ...”

              Oleh sebab tahun lahir mahupun catatan tahun Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani mulai belajar di Mekah belum diketahui maka agak sukar menjejaki teman-teman yang seangkatan beliau yang sama-sama belajar kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Walau bagaimana pun saya berhasil menemui sepucuk surat yang beliau tulis di Mekah, pada hari Khamis, bulan Zulhijjah 1296 H bererti pada tarikh tersebut beliau telah berada di Mekah. Surat dari beliau itu ditujukan kepada Haji Sulaiman bin Haji Adam di negeri Sanggau, Kalimantan Barat.

                  Surat yang ditulis di Mekah bulan Zulhijjah 1296 H telah mendahului semua karya beliau yang dimulai dengan Tajul 'Arus, yang diselesaikan pada 24 Ramadan 1304 H. Karya terakhir ialah Fat-hul Mutafakkirin, diselesaikan 16 Rejab 1324 H, di Taif. Dari tarikh yang tersebut kita dapat membanding dengan kemunculan ulama yang berasal dari Pontianak yang lainnya, yang sezaman dengan beliau, kemungkinan peringkat murid beliau, bukan sebagai sahabat. Ulama Pontianak yang terkenal yang dianggap peringkat murid Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani ialah Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani, karyanya yang terawal ditulis tahun 1316 H dan karya terakhir ditulis tahun 1321 H.


Penulisan
Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani adalah satu-satunya ulama Pontianak yang paling banyak karyanya yang tersebar di seluruh dunia Melayu, jika dibandingkan dengan ulama Pontianak yang lainnya. Bahkan beberapa judul di antaranya masih diajar di beberapa pengajian pondok tradisional dunia Melayu. Di bawah ini saya senaraikan 11 judul karangan beliau yang telah dijumpai iaitu;

  • 1.   Tajul 'Arus, diselesaikan 24 Ramadan 1304 H. Kandungannya mengenai tasawuf, merupakan terjemahan dari kitab At-Tanwir fi Isqathit Tadbir karangan Syeikh Ibnu Athaullah as-Sakandari. Terdapat banyak edisi cetakan di antaranya oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1358 H/1939 M. Ditashhih oleh gurunya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani.
    2.   Fat-hul Mekah, diselesaikan 1310 H. Kandungan mengenai sejarah Nabi Muhammad s.a.w. bersama sahabat-sahabatnya dapat menaklukkan kota Mekah. Hanya terdapat satu edisi cetakan oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 17 Safar 1311 H. Ditashhih oleh Syeikh Abdur Rahman Gudang bin Syeikh Muhammad Ali bin Syeikh Isma’il al-Fathani.
    3.   Tanwirul Qulub fi Isqati Tadbiril 'Uyub, diselesaikan 12 Sya'ban 1311 H. Kandungan mengenai tasawuf, merupakan terjemahan dari kitab At-Tanwir fi Isqatit Tadbir karangan Syeikh Ibnu Athaullah as-Sakandari. Masih diajarkan di beberapa pondok pengajian tradisional. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 15 Ramadan 1311 H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir, Sya'ban, 1343 H. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1353 H/1934 M. Cetakan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Abdullah bin Ibrahim Kedah, juga terdapat tashhihan Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi al-Azhari.
    4.   Risalah Tafsir Surah Yasin, diselesaikan 12 Rabiulakhir 1312 H, di Mekah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah Mekah, 1330 H. Kandungan merupakan terjemahan dan tafsir surah Yasin yang dipetik daripada Tafsir Jamal dan Tafsir Jalalain. Risalah Tafsir Surah Yasin ini adalah penting, kerana banyak isu semasa dalam masyarakat sekarang, ada golongan yang membidaahkan membaca surah Yasin, terjawab dalam kitab tersebut. Sebagai contoh yang dibidaahkan, bahawa bidaah membaca surah Yasin malam Jumaat. Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani menulis hadis lengkap dengan lafaz Arabnya, lalu beliau terjemah, “Barang siapa membaca ia akan surah Yasin pada malam Jumaat, nescaya ber-Subuh-Subuh ia diampun baginya [oleh] Allah.”
    5.   Ashal Khutbah, tidak diketahui tarikh selesai penulisan kerana beberapa halaman bahagian akhir belum ditemui. Kandungan membicarakan berbagai-bagai bentuk khutbah yang ditulis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan maknanya dalam bahasa Melayu. Tebal (halaman yang dijumpai) 318 halaman. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1314 H.
    6.   Judul sebenar belum diketahui kerana hanya dijumpai mulai halaman sembilan hingga halaman akhir, iaitu halaman 16. Pada halaman akhir terdapat nama Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani sebagai pengarangnya. Diselesaikan pada hari Ahad, 19 Syaaban 1317 H, di Mekah. Kandungan membicarakan permasalahan ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah.
    7.   Fadhilat Mekah Dan Adab Ziarah Madinah Dan Fadhilat Negeri Thaif, diselesaikan 30 Rabiulawal 1319 H. Kandungan menceritakan keadaan Mekah, Madinah dan Thaif. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al- Kainah, Mekah, 1319 H.
    8.   Nurul Anwar, diselesaikan 16 Rejab 1324 H. Kandungan membicarakan peperangan Nabi Muhammad s.a.w. sesudah hijrah, peperangan Saiyidina Ali sesudah menjadi khalifah Islam, dan lain-lain. Rujukan utama penyusunan kitab ini ialah Nurul Abshar. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah Mekah, 1324 H.
    9.   Fat-hul Mutafakkirin Supaya Bertempat Iman dan Yaqin, diselesaikan 16 Rejab 1324 H, di Taif. Kandungan membicarakan tafsir beberapa ayat al-Quran yang bersangkutan dengan tasawuf. Dipetik dari karya Saiyid Ahmad Zaini Dahlan daripada hadis Jami'us Shaghir as-Suyuthi. Cetakan yang pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 24 Ramadan 1324 H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir, Shafar 1349 H. Cetakan yang pertama ditashhih oleh pengarangnya sendiri. Cetakan lanjutan ditashhih oleh Syeikh Ahmad Sa'ad al-Filfulani dan Syeikh Abdullah Ibrahim al-Qad-hi (Kedah).
    10.   Risalah Bergantung Maknanya Di Bawahnya Maulid al-Barzanji, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan merupakan Kitab Barzanji bergantung makna dalam bahasa Melayu. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah al-Mahmiyah, 1324 H.
    11.   Irsyadul 'Ibad, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan merupakan terjemahan hadis Nabi s.a.w., petikan dari kitab Munabbihatul Qulub. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 13 Syawal 1324 H


Posted by mfrstudio at 4:35 PM
« แก้ไขครั้งสุดท้าย: ก.ย. 23, 2009, 09:15 PM โดย Al Fatoni »
ท่านขนขวายอะไร ท่านก็จะได้สิ่งนั้น - วัลลอฮุอะอฺลัม

 

GoogleTagged